Sebelum cuti sekolah penggal ke-3 2009, Isteri saya telah memohon pinjaman Koperasi Guru Ipoh. Di Sekolah tempatnya mengajar (kawasan Sungai Besar) hanya beberapa kerat sahaja yang menjadi ahli koperasi ini, kami terpaksa pergi ke sekolahnya yang terdahulu di Klang bagi mencukupkan kuota 2 orang penjamin dan 2 orang Saksi.
Semasa mengisi borang Bon pinjaman tersebut, berlaku beberapa kesilapan kecil, isteri saya pun memadam dengan menggunakan “Liquid Paper”. Malangnya, prosedurnya memadam kesilapan hanya dengan membuat satu garisan pada perkataan yang tersilap tersebut dan diikuti dengan tanda tangan pada atas atau tepi perkataan yang diperbetulkan. Lalu borang ini di tolak.
Koperasi Ipoh mengirimkan semula borang Bon yang baru, Isteri saya pun mengisi semula dengan teliti, sekali lagi kami pergi ke Klang meminta tandatangan rakan taulan di sana. Setelah selesai, Dia pun menghantar semula ke koperasi Ipoh. Selang beberapa hari, pihak koperasi Ipoh menelefonnya menjelaskan borang Bon yang baru dikirim juga tidak dapat diterima kerana kedudukan penjamin dan saksi tidak menyamai dengan borang yang terdahulu.
Teringatkan nasihat kawannya yang menyatakan bahawa meminjam pinjaman peribadi di Agro Bank lebih senang lagi mudah dengan kadar faedah yang sama dengan koperasi, isteri saya pun membatalkan pinjaman koperasi tersebut dan meminta pihak koperasi memulangkan semula penyata gaji yang dilampirkan dahulu.
Pada hari Jumaat yang lalu Isteri saya pun menghantar semula borang dan juga lampiran yang diperlukan seperti salinan kad pengenalan suami isteri, 3 bulan slip gaji dan juga surat pengesahan jawatan daripada sekolah. Pihak Agro Bank cawangan Sungai Besar pun meneliti borang dan lain-lain lampiran. Bank memulangkan semula borang pinjaman kerana tidak lengkap, tiada tandatangan pengesahan majikan.
Pada petang Isnin berikutnya, pihak bank meminta isteri saya menghantar kembali borang tersebut kerana pinjaman tersebut sudah siap diproses. Dia menghantarkan borang itu pada pagi keesokannya. Di sebelah petang, wang pinjaman tersebut telah pun dimasukkan ke dalam akaun banknya.
Saya kagum dengan kecekapan Agro bank yang hanya memproses pinjaman tersebut Cuma 2 hari sahaja setelah ditolak cuti hujung minggu, biasanya kalau koperasi memakan masa di antara seminggu hingga sebulan. Tahniah dan syabas atas kecekapan Agro bank cawangan Sungai Besar.
